MASALAH hutang pinjaman dalam talian dipercayai menjadi punca seorang lelaki tergamak membunuh bekas kekasihnya di sebuah hotel pada 20 Oktober lalu.Motif pembunuhan itu didedahkan polis pada Isnin selepas siasatan mendapati suspek berusia 29 tahun itu berdepan masalah kewangan sehingga sanggup membunuh sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa. Kejadian berlaku di sebuah hotel di Aek Nabara, Labuhanbatu, Sumatera Utara, Indonesia.Menurut Ketua Polis Labuhanbatu, Rafli Yusuf Nugraha, kes berkenaan terbongkar selepas pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti di dalam bilik air hotel.Pemeriksaan awal mendapati beberapa barangan milik mangsa hilang, antaranya motosikal Honda Beat serta dua telefon bimbit jenis Oppo A57 dan iPhone 13.Sementara itu, hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Rantauprapat pada 21 Oktober lepas mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.Tambah Rafli, penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula mendapati mangsa tiba di hotel berkenaan bersama bekas kekasihnya sehari sebelum mayatnya ditemukan.Susulan itu, polis memanggil suspek untuk diambil keterangan pada 14 November.Dia yang pada awalnya menafikan pernah bersama mangsa di hotel tersebut bagaimanapun terkedu apabila polis menemukan telefon bimbit mangsa di dalam simpanannya.Penemuan itu membuatkan suspek akhirnya mengaku melakukan pembunuhan tersebut.Suspek berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun sekiranya disabitkan kesalahan. -Agensi